Tentang Kami
Pengenalan SMUDA
Sekolah Menengah Agama (Arab) Darul Anuar (SMUDA) merupakan salah satu institusi pendidikan peringkat menengah aliran arab yang satu-satunya wujud di Pulau Melaka ini.la mula ditubuhkan pada tahun 1963 oleh Tuan Guru Haji Nik Mat bin Raja Banjar. Beliau juga lebih dikenali dengan gelaran Hj Nik MAT@ Nikmatullah bin raja banjar. Sekolah ini ditubuhkan memandangkan belum lagi terdapat sekolah agama di sekitar Pulau Melaka untuk membimbing anak-anak masyarakat pada waktu itu.
Sekolah ini lahir hasil dari cetusan idea tuan guru Hj Nik Mat kerana menyedari betapa pentingnya institusi pendidikan agama wujud di sekitar kampung bagi memudahkan anak-anak tempatan yang dahagakan ilmu pengetahuan untuk menimba ilmu agama.
Sebelum lahirnya sekolah ini, anak-anak tempatan terpaksa pergi ke Sekolah Menengah Ugama(Arab) Tarbiah Mardhiah Panchor untuk menuntut ilmu agama. Walaupun jarak antara keduanya tidaklah begitu jauh, hanya sekitar 11 kilometer. Namun ianya amat dirasakan perlunya sekolah agama yang berdekatan dengan kediaman mereka memandangkan taraf ekonomi mereka yang rendah.
Dan pada masa itu mereka hanya bergantung kepada hasil pertanian dan ternakan sahaja serta sumber rezeki mereka cukup terhad. Pada peringkat awal penubuhan Sekolah Menengah ugama (Arab) Darul Anuar, terdapat hanya 2 buah bilik darjah dan sebuah bilik guru. Keadaan ini adalah disebabkan oleh masalah kewangan yang begitu terhad dan jumlah pelajarnya juga tidak begitu ramai.
Bangunan yang awal di bina ini juga adalah dibina secara bergotong-royong oleh penduduk setempat. Ia juga dikira memadai pada waktu itu, kerana hanya terdapat lebih kurang 52 orang murid yang terdiri daripada 30 lelaki dan 22 perempuan. Kebanyakan daripada mereka adalah merupakan penduduk yang tinggal di kawasan sekitar Kampung Pulau Melaka.
Bagi menjamin kelancaran pentadbiran dan pengurusan sekolah, satu lembaga pentadbiran sekolah telah diwujudkan. Jawatankuasa berkenaan adalah terdiri daripada :
Pengerusi
Hj Nik Mat bin Raja Banjar
Naib Pengerusi
Wan Idris bin Ibrahim
Setiausaha
Ustaz Muhammad bin Ibrahim
Penolong Setiausaha
Hj Abdul Rahman bin Ismail
Bendahari
Hj Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
Ahli Jawatankuasa
Awang bin Ali
Hj Nik Mat bin Nik Hassan
Ustaz Nawi bin Muhammad
Raja Soh bin Raja Kob
Abdullah Muhammad
Nik Harun bin Nik Hassan
Nik Razin bin Nik Mat
Pemeriksa kira-kira
Abdul Aziz bin Mohammad/Hj Awang Aziz
Menurut Haji Nik Din (YDP PIBG), bangunan sekolah yang terawal dibina di atas sebidang tanah milik Hj Nik Mat yang luasnya kira-kira satu ekar. Namun, memandangkan tanah yang agak luas diperlukan lagi bagi menampung pembinaan bangunan serta sebuah padang sekolah.
Justeru, pihak jawatankuasa sekolah telah bertungkus-lumus berusaha mendapatkan derma dan bantuan daripada orang ramai bagi membeli sebidang lagi tanah yang berdekatan dengan sekolah. Berkat daripada kesedaran pentingnya tolong-menolong dan bersedekah serta ditambah pula dengan kemurahan hati masyarakat pada masa itu, SMUDA telah mendapat sumbangan derma yang agak besar untuk menampung pembinaan bangunan sekolah pada waktu itu.
Selain itu, sekolah juga telah menerima derma sebidang tanah yang diwakafkan yang berdekatan dengan sekolah untuk dijadikan tapak awal penyebaran ilmu-ilmu Islam daripada Hajah Kalthom binti Ahmad. Peringkat awal penubuhan Darul Anuar, hanya terdapat empat orang tenaga pengajar. Mereka terdiri daripada penduduk kampung berdekatan dan telah mendapat pendidikan di peringkat sekolah pondok dan Maahad Muhammadi.
Antara tenaga pengajar yang terawal ialah :
1) Ustaz Yusuf bin Abdullah|
2) Ustaz Haji Abdul Rahman bin Ismail
3) Ustaz Mohammad bin Ibrahim
4) Ustaz Nawi bin Muhammad
Menurut Ustaz Nawi, beliau merupakan tenaga pengajar yang termuda mengajar di Darul Anuar pada waktu itu. Beliau telah mendapat tawaran mengajar kerana memperolehi keputusan yang terbaik semasa belajar di Sekolah Menengah Ugama Tarbiah Madhiah di Panchor.
Menyentuh kepada pengambilan pelajar pada peringkat awal penubuhan sekolah ini pelajar yang digalakkan mendaftar di peringkat yang paling minimanya ialah sekitar umur enam tahun dan Tuan Guru Haji Nik Mat amat menggalakkan dan mengutamakan pelajar dari kalangan anak yatim dan orang yang miskin. Oleh sebab itulah pelajar dalam kategori ini telah di kecualikan daripada membayar sebarang yuran pengajian Selain itu, sistem pengajian yang dibentuk pada peringkat awal di sekolah ini juga terdapat sedikit perbezaan dengan sekolah-sekolah menengah yang lain
Sistem yang dimaksudkan adalah pengasingan pembelajaran antara pelajar lelaki dan pelajar perempuan. Pelajar lelaki menghadiri kelas pada waktu pagi dan pelajar perempuan belajar pada waktu petang. Namun keadaan ini tidak lama berjalan disebabkan bilangan guru yang tidak mencukupi. Mereka dicampurkan di dalam satu kelas, tetapi tempat duduk mereka tetap diasingkan antara lelaki dan wanita. Menurut Ustaz Abdul Rahman, kelas yang bercampur itu tetap juga diasingkan melalui satu penghadang dinding yang diletakkan ditengah-tengah kelas. Pengasingan ini merupakan salah satu ajaran agama Islam yang melarang pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan. Ianya cuba dipraktikkan oleh Tuan Guru Haji Nik Mat. Menyentuh tentang kurikulum yang diajar, pada peringkat awal ini sistem pengajian yang diajar adalah mengikut sistem pondok. Matapelajaran yang diajar meliputi madah (subjek) Tauhid, Feqah, Tajwid, Al-Quran, al-Hadith, Nahu dan sebagainya. Bahasa utama yang digunakan ialah bahasa Arab. Keadaan ini berubah tidak lama selepas Kementerian Pelajaran mengarahkan agar sistem pengajian di sekolah-sekolah diseragamkan dengan mengguna pakai sistem pendidikan kebangsaan. Namun, matapelajaran yang diajar pada peringkat awal adalah tidak berubah, sebaliknya ditambah lagi matapelajaran akademik iaitu ilmu hisab dan bahasa Inggeris.
Dari sudut sumber kewangan pula, Sekolah Darul Anuar memperolehi sumber kewangan daripada sumbangan derma orang ramai dan yuran para pelajar. Namun bagi anak yatim yang belajar di sini tidak dikenakan yuran. Pendapatan daripada sumber ini jugalah digunakan sebagai pemberian saguhati kepada para guru, dan di peringkat awalnya guru-guru menerima saguhati sebanyak RM 30 sebulan.
Visi, Misi & Moto SMUDA
Sekolah Menengah Agama (Arab) Darul Anuar (SMUDA) merupakan salah satu institusi pendidikan peringkat menengah aliran arab yang satu-satunya wujud di Pulau Melaka ini.la mula ditubuhkan pada tahun 1963 oleh Tuan Guru Haji Nik Mat bin Raja Banjar. Beliau juga lebih dikenali dengan gelaran Hj Nik MAT@ Nikmatullah bin raja banjar. Sekolah ini ditubuhkan memandangkan belum lagi terdapat sekolah agama di sekitar Pulau Melaka untuk membimbing anak-anak masyarakat pada waktu itu.
Peneraju kecemerlangan pendidikan Islam dan bahasa Arab menjelang 2023
Melahirkan muslim yang beriman, berakhlak mulia, berilmu pengetahuan, beramal soleh dan layak berkhidmat untuk membangun keluarga, masyarakat, negara dan ummah.
Pendidikan Islam dan bahasa Arab gemilang.